Wednesday, April 23, 2008

Beberapa Hukum Fiqh yang perlu anda tahu....Bahagian Pertama

TAHARAH - BERSUCI

1.1 Terdapat cat atau kotoran pada tangan semasa mengambil wuduk

Jikalau seseorang terjumpa sesuatu seperti cat ataupun kotoran pada tangan atau anggota lain, semasa mengambil wuduk, dan cuba menanggalkannya, adakah ini mengganggu tertib dalam wuduknya dan adakah ini bermakna dia perlu mengulangi wuduknya semula?
Jawapan: Menurut pendapat yang paling baik, perkara ini tidak mengganggu tertib didalam wuduknya, walaupun bahagian anggotanya yang sudah dibasuh telah kering, kerana dia menangguhkannya kerana sesuatu yang berkaitan dengan taharah (kesucian). Begitu juga wuduknya tidak terganggu sekiranya dia berpindah dari satu paip ke satu paip untuk mendapatkan air, dsb.

Tetapi jika dia terganggu oleh sesuatu yang tidak berkaitan dengan wuduknya, seperti menanggalkan sedikit kotoran pada pakaiannya, ataupun makan dan minum, dan sebagainya, dan bahagian anggota badannya yang telah dibasuh semasa wuduk tadi telah kering, maka dia perlu mengulangi wuduknya semula. (Fataawa Ibnu 'Uthaymeen, 4/145-146).

1.2 Balutan pada luka

Sekiranya seseorang mempunyai kecederaan di mana-mana bahagian anggota badan (tidak boleh di balut akibat luka) yang perlu dibasuh semasa wuduk , maka beliau perlu mengambil wuduk dan bertayammum di tempat yang luka itu (al-Mughni ma'a al-Sharh al-Kabeer, 1/282). Namun beliau tidak perlu membasuh atau bertayammum di kawasan yang luka itu sekiranya itu akan memudaratkannya.

1.3 Kesan junub (hadas besar) pada pakaian

Sekiranya seseorang ternampak kesan junub (hadas besar seperti air mani,) pada pakaian beliau, dan dia sudah pun solat beberapa kali tanpa menyedarinya maka beliau perlu mandi wajib dan mengulangi semua solat yang telah ditunaikan sejak kali terakhir beliau tidur dengan memakai pakaian tersebut. Walaubagaimanapun, jikalau beliau mengetahui bahawa hadas besar itu adalah daripada tidur yang sebelumnya, beliau perlu mengulangi semua solat yang telah ditunaikan sejak kali terakhir beliau tidur yang beliau menyangka membawa kepada hadas besar. (al-Mughni ma'a al-Sharh al-Kabeer, 1/199).

Dalil yang menunjukkan bahawa beliau perlu mandi wajib untuk bersolat dalam kes-kes junub boleh didapati di banyak tempat, contohnya seperti ayat Al -Quran, maksudnya “Hai orang-orang beriman, janganlah kamu kerjakan solat , sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub , terkecuali sekadar berlalu saja, sehingga kamu mandi.” (al-Nisaa' 4:43). Satu hadith daripada Ali (r.a.) yang mana beliau berkata: " Saya adalah lelaki yang banyak keluar air mazi daripada kemaluan, maka saya kerap membersihkan diri saya (mandi wajib) sehinggalah kulit di belakang badan saya mula merekah. Saya mengadu perkara ini kepada Rasulullah (s.a.w) ataupun perkara ini telah diadukan kepada baginda, maka baginda bersabda: "Jangan buat begitu. Jikalau kamu melihat air mazi keluar , basuh kemaluan kamu dan ambil wuduk seperti wuduk untuk bersolat. Jika air (i.e., mani) yang terpancut, hendaklah kamu mandi Wajib." (Diriwayatkan oleh Abu Dawood, no. 206; dikelaskan sebagai saheeh oleh al-Albaani di dalam Irwaa' al-Ghaleel, no. 125). Ini menunjukkan bahawa bila air mani terpancut, mesti mandi wajib, tetapi kalau hanya sekadar air mazi, sudah memadai dengan membasuh kemaluan dan berwuduk.

1.4 Junub (hadas besar) ketika musafir

Seorang musafir mungkin menemui dirinya didalam perjalanan yang jauh menaiki kapal terbang ketika mana beliau berkeadaan junub (hadas besar). Beliau tiada cara untuk mandi wajib, dan di dalam kapal terbang tersebut tiada apa yang boleh digunakan untuk bertayammum. Jikalau beliau menunggu (sehingga sampai ke destinasi), waktu solat akan tamat, dan berkemungkinan solat itu jenis yang tidak boleh dihimpunkan dengan yang lain (contohnya solat subuh, bilamasa dia bertolak sebelum subuh) dan perjalanan itu tidak akan sampai sehinggalah terbit matahari, ataupun masa untuk menghimpunkan dua solat seperti zohor dan asar juga akan tamat (kerana beliau bertolak sebelum zohor dan tidak akan sampai sehinggalah selepas maghrib). Apakah yang beliau perlu lakukan dalam situasi begini?

Sekiranya kita menerima bahawa beliau sudah tiada cara untuk mandi wajib di atas kapal terbang, maka beliau dikira berada dalam situasi yang dikenali oleh para ulamak sebagai "seseorang yang tidak mampu mendapatkan dua unsur yang menyucikan (i.e. air atau tanah)." Terdapat pendapat yang berbeza dalam situasi begini. Imam Ahmad serta majoriti muhaddithoon (penghafal hadis) mengatakan beliau perlu bersolat sebagaimana adanya, kerana itu sahajalah yang mampu beliau lakukan, dan “Allah tiada memberati manusia, melainkan sekadar kemampuannya” [al-Baqarah 2:286 - pengertian daripada maksud].

Dalil yang spesifik didalam kes ini adalah diriwayatkan di dalam Saheeh Muslim, di mana ia meriwayatkan bahawa Rasulullah (s.a.w) telah menghantar beberapa orang untuk mencari seutas rantai Aishah (r.a.) yang hilang. Bila masuk waktu solat, mereka bersolat tanpa mengambil wuduk (kerana mereka tidak menjumpai air). Bila mereka kembali kepada Rasulullah (s.a.w), mereka menceritakannya kepada baginda dan ayat mengenai tayammum pun diturunkan. (Saheeh Muslim, 367). Rasulullah (s.a.w) tidak menyalahkan mereka mahupun mengkritik mereka, juga tidak menyuruh mereka mengulangi solat tersebut. Ini menunjukkan bahawa melakukan solat tadi adalah wajib. Walaupun taharah (bersuci) itu adalah syarat sah solat, ianya tidak boleh ditangguhkan bilamana taharah tidak dapat disempurnakan. (al-Mughni ma'a al-Sharh al-Kabeer, 1/251).

Hukum yang sama juga digunakan untuk orang yang uzur yang sedikit pun tidak mampu menggerakkan tubuh badannya, dan orang-orang yang dipenjara juga yang diikat ataupun digantung.

Apa yang dimaksudkan ialah solat itu mesti dilakukan dengan cara yang terbaik bergantung kepada sesuatu keadaan itu, dan ia tidak boleh ditangguh melepasi waktu yang ditetapkan. Menurut pendapat yang paling kukuh, ia tidak perlu diulangi, kerana Allah tidak memberati kita dengan agamaNya.

1.5 Pendarahan selepas keguguran - nifas atau tidak?

Sekiranya seorang perempuan mengalami keguguran dan pendarahan, perlukah dia mengerjakan solat?

Jawapan kepada persoalan ini bergantung kepada jenis darah tersebut: nifas atau tidak? Para ulamak pernah mengemukakan syarat berkenaan perkara ini: "Jika perempuan itu melihat darah selepas melahirkan sesuatu yang menyerupai rupa bentuk manusia, maka ia adalah nifas, tetapi jika dia melihat darah selepas melahirkan sesuatu yang menyerupai gumpalan darah beku (nutfah atau 'alaq), maka ia bukanlah nifas." (al-Mughni ma'a al-Sharh al-Kabeer, 1/361).
Dalam kes yang kedua, ini dipanggil istihaadah (darah penyakit) dimana perempuan tersebut perlu mengambil wuduk untuk setiap kali solat hanya setelah masuk waktu solat dan kemudian bersolat. Jika apa yang dilahirkan itu ialah janin yang sudah cukup sifatnya atau yang sudah mempunyai sebahagian rupa bentuk anggota badan seperti tangan ataupun kepala ,maka darah itu adalah nifas. Jika perempuan itu mengatakan semasa di hospital mereka telah mengambilnya dan membuangnya dan dia belum sempat melihatnya, maka para ulamak mengatakan bahawa jangkamasa yang paling singkat untuk anggota badan janin terbentuk ialah 81 hari daripada tarikh mula hamil. (Majmoo'at Fataawa al-Shaykh ibn 'Uthaymeen, 4/292).

Ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh 'Abd-Allaah ibn Mas'ood (r.a) yang menyatakan bahawa Rasulullah (s.a.w), seorang yang sentiasa bercakap benar, bersabda: "Tiap-tiap manusia diolah kejadiannya didalam perut ibunya selama 40 hari kemudian 40 hari lagi menjadi 'alaqah (segumpal darah) kemudian 40 hari lagi menjadi mudghah (segumpal daging) lalu Allah menghantar malaikat untuk meniupkan roh dan disuruh menuliskan 4 perkara untuk hari depan si bayi: a. tentang rezekinya. b. tentang ajalnya. c. amal perbuatannya. d. nasib celaka (dimasukkan ke dalam neraka) atau beruntungnya (dimasukkan kedalam syurga)..." (Lafaz ini diriwayatkan oleh al-Bukhaari, Fath, 6/303).

Mana-mana perempuan yang menghadapi masalah ini harus mendapatkan nasihat doktor untuk mengetahui situasi sebenar mereka.

Berkenaan dengan darah yang keluar waktu hampir-hampir bersalin: jika ia disertai dengan kesakitan semasa bersalin , maka ia adalah darah nifas, jika tidak, ia bukan. Shaykh al-Islam Ibnu Taymiyah (rahimahullah) berkata: "Apa yang perempuan lihat (darah) semasa sakit bersalin bermula itulah nifas. Apa yang dimaksudkan disini ialah kesakitan semasa proses beranak yang disusuli dengan melahirkan anak; jika ini bukan kesnya maka ia bukanlah nifas." (Majmoo' Fataawa Ibnu 'Uthaymeen, 4/327).

No comments: