Thursday, April 24, 2008

HUKUM FIQH - BAHAGIAN 2

2.1 Was-was (bisikan tipudaya Syaitan)

Jika, semasa solat, seseorang berasa was-was (bisikan tipudaya) daripada Syaitan, yang menyebabkan beliau teragak-agak dalam bacaan , yang membuatkan beliau terfikir sesuatu yang buruk dan membuatkan beliau ragu-ragu tentang jumlah rakaat solat yang sudah ditunaikannya, apakah yang perlu beliau lakukan?

Perkara ini berlaku kepada seorang sahabat Rasulullah (s.a.w) , namanya 'Uthmaan ibn Abi al-'Aas (r.a.). Beliau datang berjumpa Rasulullah (s.a.w) dan mengadu tentangnya: "Syaitan menggangguku didalam solatku, dan menyebabkan aku teragak-agak didalam bacaanku." Rasulullah (s.a.w) bersabda: "Syaitan itu dipanggil Khanzab. Jika kamu merasa kehadirannya, mintalah perlindungan daripada Allah dan ludah (ludah kering) ke kiri kamu sebanyak 3 kali." Selepas daripada itu 'Uthmaan berkata: "Aku melakukan apa yang Rasulullah (s.a.w) suruh dan Allah telah menjauhkan dia (syaitan) daripada aku." (Saheeh Muslim, no. 2203).

Hadith ini menyatakan 2 cara untuk menghalau syaitan yang cuba mengganggu didalam solat. Cara yang pertama ialah dengan meminta perlindungan kepada Allah daripada kejahatan syaitan (a'udzubillahi minas syaithaanirrajiim) , walaupun dengan mengucapkan perkataan ini semasa solat - perbuatan ini tidak menyalahi apa-apa dalam solat. Cara yang kedua ialah dengan meludah (ludah kering) ke kiri sebanyak 3 kali. Ini bermakna menghembuskan angin yang menyerupai perbuatan meludah tetapi dengan hanya sedikit air liur, selagi ianya tidak mengganggu orang di sebelahnya ataupun mengotorkan masjid.

2.2 Bagaimana kalau berlaku sesuatu semasa solat?

Bagaimana kalau sesuatu berlaku (i.e., seseorang bercakap dengan beliau atau menghampiri beliau) semasa solat, apakah yang perlu beliau lakukan?

Kalau sesuatu berlaku kepada seseorang semasa solat, orang lelaki perlu mengucapkan "Subhaan Allaah," dan orang perempuan perlu bertepuk (paha) . Bukti tentang perkara ini adalah daripada hadis yang diceritakan oleh Sahl ibn Sa'd (r.a.) , menurut beliau Rasulullah (s.a.w) bersabda: "Kalau sesuatu berlaku kepada seseorang semasa solat, orang lelaki perlu mengucapkan "Subhaan Allaah," dan orang perempuan perlu bertepuk." (Diriwayatkan oleh Abu Dawood). Menurut lafaz yang diceritakan oleh al-Bukhaari dan Muslim: "Tasbeeh (mengucapkan 'Subhaan Allaah') ialah untuk lelaki, dan bertepuk ialah untuk perempuan." (Sunan Abi Dawood, 941; Saheeh al-Bukhaari (edisi al-Bugha), 1145; Saheeh Muslim, 106).

2.3 Terasa hendak buang air semasa iqamah dilaungkan

Jika solat sudah hendak bermula (iqamah dilaungkan) dan seseorang terasa hendak buang air, dia perlu pergi ke bilik air dan menyempurnakannya dahulu, walaupun ini bermakna dia akan terlepas daripada solat berjemaah. Dalil tentang ini telah diriwayatkan oleh 'Abd-Allaah ibn Arqam (r.a.): "Rasulullah (s.a.w) bersabda: 'Jika ada diantara kamu perlu buang air manakala solat hendak dimulakan, maka hendaklah dia menyempurnakan keperluannya itu dahulu.'" (Diriwayatkan oleh Abu Dawood, no. 88; sila rujuk Saheeh al-Jaami', 373).

2.4 Keraguan tentang kentut

Jika seseorang yang sedang solat merasa ragu-ragu samada dia terkentut atau tidak, atau beliau merasakan suatu pergerakan di bahagian abdomennya, patutkah dia menghentikan solatnya atau meneruskannya?

Jika beliau yakin yang beliau telah terkentut, beliau patut berhenti daripada solatnya, tetapi jika beliau tidak yakin atau ragu-ragu, beliau tidak seharusnya berhenti - sehinggalah beliau yakin tentangnya iaitu samada dengan mendengar bunyi ataupun dengan menghidu baunya. Jika beliau dapati sedemikian, beliau patut menghentikan solatnya, jika tidak, beliau seharusnya meneruskan solatnya.

Dalil tentang perkara ini boleh didapati daripada sebuah hadis oleh Abu Hurayrah (r.a.): "Rasulullah (s.a.w) bersabda: ' Jika salah seorang daripada kamu sedang solat dan tiba-tiba merasakan suatu pergerakan di duburnya, dan merasa ragu-ragu samada beliau terkentut atau tidak, beliau tidak perlu menghentikan solatnya sehinggalah beliau mendengar bunyi atau menghidu baunya.'" (Diriwayatkan oleh Abu Dawood, 177; sila rujuk Saheeh al-Jaami', 750).
Ini adalah salah satu kaedah dalam Islam untuk mengubati penyakit was-was (bisikan tipudaya syaitan).

2.5 Jika azan subuh dilaungkan ketika seseorang sedang bersolat witir

Jika seseorang solat witir dan bilal melaungkan azan subuh semasa beliau sedang bersolat, patutkah beliau menyambung solatnya?

Ya, jika azan dilaungkan semasa beliau sedang bersolat witir, beliau boleh menghabiskan solatnya, dan tiada kesalahan baginya. (Ibn 'Uthaymeen, Fataawa Islaamiyyah, 1/346). Perkara ini ada kena mengena dengan waktu untuk solat witir samada ianya berakhir dipermulaan fajar ataupun diakhir fajar. Jumhur ulamak mengatakan bahawa ianya berakhir dengan bermulanya solat subuh. (Is'aaf Ahl al-'Asr bima warada fi Ahkaam Salaat al-Witr oleh Fayhaan al-Mutayri, ms. 33)

2.6 Terlepas waktu asar dan tiba di masjid bila solat maghrib telah bermula

Jika seseorang terlepas waktu asar dan tiba di masjid bila solat maghrib telah bermula, apakah yang patut beliau lakukan?

Shaykh al-Islam Ibn Taymiyah (rahimahullah) berkata: Beliau perlu solat maghrib bersama imam, kemudian solat asar, sepertimana yang dipersetujui oleh kesemua ulamak muktabar. Persoalan tentang samada beliau perlu mengulangi solat maghribnya itu, terdapat dua pendapat. Pendapat pertama ialah beliau perlu mengulanginya; ini adalah pendapat Ibn 'Umar, Maalik , Abu Haneefah dan pendapat masyur Imam Ahmad. Pendapat kedua ialah beliau tidak perlu mengulangi solatnya tadi; ini adalah pendapat Ibn 'Abbaas dan al-Shaafi'i, dan juga pendapat kedua Imam Ahmad. Pendapat kedua adalah lebih sesuai, kerana Allah tidak mewajibkan seseorang itu mengerjakan solat dua kali walaupun beliau sangat takut pada Allah. Dan Allah Maha Mengetahui. (Majmoo' Fataawa Ibn Taymiyah, 22/106).

2.7 Seorang musafir mengikuti solat berjemaah tanpa mengetahui samada imam itu juga seorang musafir

Jika seorang musafir mendatangi suatu jemaah yang sedang bersolat, dan beliau tidak mengetahui samada imam itu juga seorang musafir (supaya beliau dapat menyertai solat tersebut dengan niat qasar yakni memendekkannya), ataupun imam itu seorang penduduk tetap (supaya beliau dapat solat yang tamam yakni penuh bersamanya), apakah yang perlu beliau perbuat?

Menurut pendapat yang paling kuat, beliau perlu bertindak mengikut tanda-tanda musafir yang beliau nampak pada imam itu, seperti pakaian ataupun kelengkapan perjalanan. Sekiranya beliau mendapati bahawa imam itu adalah penduduk tetap, maka beliau perlu solat lengkap atau sempurna bersama imam itu.

Dalil tentang perkara ini ialah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Ibn 'Abbaas, yang telah ditanya: "Kenapakah seorang musafir bersolat dua rakaat jika sendirian dan bersolat empat rakaat jika bersama penduduk tetap?" Beliau menjawab: "Itulah sunnah." Menurut riwayat lain, beliau berkata: "Itulah sunnah Abul-Qaasim." (Al-Haafiz tidak memberi komen tentang hadis ini di dalam al-Takhlees, 2/50, tetapi Ahmad Shaakir megklasifikasinya sebagai sahih di dalam komennya tentang al-Musnad, 3/260).

Jikalau beliau menganggap imam itu adalah musafir, dan dia solat dua rakaat dengan niat mengqasarkan solatnya, kemudian selepas memberi salam (di penghujung solat) beliau mendapati bahawa imam tersebut adalah seorang penduduk tetap dan dua rakaat yang dikerjakannya tadi adalah rakaat ketiga dan keempat solat imam tadi, dalam hal ini beliau perlu berdiri dan solat dua rakaat lagi untuk menyempurnakan solatnya, dan melakukan sujud sahwi. (Al-Majmoo' li'l-Nawawi, 4/356). Tidak menjadi kesalahan dengan bertutur ataupun bertanya (dalam keadaan sedemikian) sekiranya itu perlu untuk kepentingan solatnya.

2.8 Tidak berdaya bangun untuk meneruskan solat

Jika seorang yang sedang solat tiba-tiba tidak dapat bangun untuk meneruskan solatnya , ataupun seorang yang terpaksa solat secara duduk yang tiba-tiba mampu bangun, apakah yang perlu beliau lakukan?

Ibn Qudaamah (rahimahullah) berkata: "Sebaik sahaja seorang yang uzur yang sedang solat mampu melakukan suatu yang beliau tidak mampu diawal solatnya, samada berdiri, duduk, ruku', sujud atau yang lainnya, maka beliau patut meneruskan dan menyambung apa yang beliau sudah sempurnakan. Sama juga jika seorang yang pada mulanya solat mampu melakukan kesemua pergerakan, kemudian tiba-tiba menjadi uzur untuk melakukan sebahagian daripada perbuatan tersebut, beliau perlu meneruskan solatnya sebaik mungkin, dan menyambung apa yang beliau sudah sempurnakan seolah-olah tiada apa yang berubah." (al-Mughni ma'a al-Sharh al-Kabeer, 1/782; sila rujuk al-Majmoo' li'l-Nawawi, 4/318)

Dalil tentang perkara ini ialah sebuah hadith daripada 'Imraan ibn Husayn (r.a.): "Saya menghidap buasir, maka saya bertanya kepada Rasulullah (s.a.w) tentang solat. Baginda bersabda: ' Solatlah dengan berdiri, jika tidak mampu berdiri, solatlah dengan duduk, jika tidak mampu duduk, solatlah dengan baring mengiring." (Diriwayatkan oleh al-Bukhaari, Fath, 2/587).

2.9 Ada ketukan di pintu semasa seseorang sedang solat atau seorang ibu terlihat anaknya melakukan sesuatu yang merbahaya

Jika ada ketukan di pintu semasa seseorang sedang solat atau seorang ibu terlihat anak kecilnya bermain dengan sesuatu yang boleh mengakibatkan kejutan elektrik atau seumpamanya yang merbahaya , apakah yang perlu dilakukannya?

Jika seseorang yang sedang solat perlu melakukan pergerakan yang ringan, seperti membuka pintu, adalah tidak menjadi kesalahan, selagi beliau sentiasa menghadap ke kiblat.
Dalil tentang perkara ini ialah sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Dawood daripada 'Aa'ishah (r.a) yang berkata: " Suatu ketika Rasulullah (s.a.w) bersolat dengan pintu tertutup. Saya balik dan memintanya membukakan pintu, maka baginda pun datang dan membuka pintu itu untuk saya, kemudian baginda kembali semula ketempat solatnya " Periwayat hadith ini ada menyebut bahawa pintu tersebut adalah terletak di arah kiblat. (Sunan Abi Dawood, no. 922; Saheeh Sunan Abi Dawood, 815).

Sama juga keadaannya jika seorang ibu sedang solat dan perlu mengalihkan anak kecilnya daripada sesuatu yang merbahaya atau yang boleh menyebabkan kecederaan atau sebagainya. Maka pergerakan yang ringan seperti ke kanan, ke kiri, ke hadapan atau ke belakang tidak merosakkan solatnya. Begitu juga jika ridaa' (pakaian sebelah atas spt. kain serban yang di gunakan oleh orang lelaki untuk menutup kepala) seseorang terlucut, beliau boleh mengambilnya, dan jika izaar (kain pelikat) nya longgar, beliau boleh mengetatkannya. Dalam kes tertentu, hukum syariah membolehkan pergerakan yang banyak semasa solat, walaupun ini bermakna beralih daripada arah kiblat, sebagaimana didalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurayrah (r.a.): "Rasulullah (s.a.w) bersabda: 'Bunuhlah dua benda hitam walaupun semasa solat iaitu ular dan kalajengking.'" (Sunan Abi Dawood, no. 921; Saheeh Sunan Abi Dawood, 814).

2.10 Menjawab salam semasa solat

Jika salam diberikan kepada seseorang yang sedang solat, beliau boleh menjawab dengan menggunakan isyarat, sepertimana yang diriwayatkan oleh Suhayb (r.a.), yang berkata: "Saya terjumpa Rasulullah (s.a.w) semasa baginda sedang solat. Saya memberi salam kepada baginda lalu dijawabnya menggunakan isyarat." (Sunan Abi Dawood, 925; Saheeh Sunan Abi Dawood, 818).

Bentuk isyarat itu ada juga diterangkan didalam beberapa hadith, contohnya seperti yang diriwayatkan oleh Ibn 'Umar (r.a.) yang berkata: "Rasulullah (s.a.w) pergi ke Qubaa' untuk bersolat di sana. Sekumpulan Ansaar datang kepada baginda dan memberi salam semasa baginda sedang bersolat. Saya bertanya kepada Bilaal, ' Bagaimanakah (sebagaimana yang kamu nampak) cara Rasulullah (s.a.w) menjawab salam bila mereka memberi salam semasa baginda sedang solat?' Dia berkata: 'Macam ini,' dan meratakan tapak tangannya." Ja'far ibn 'Awn (salah seorang daripada perawi hadith) meratakan tangannya dengan tapak tangan menghadap ke bawah dan belakang tangan menghadap ke atas. (Sunan Abi Dawood, 927; Saheeh Sunan Abi Dawood, 820).

2.11 Mengikuti solat berjemaah yang sedang berlangsung

Jika seseorang masuk ke masjid semasa imam sedang solat, perlukah beliau menyertai imam serta-merta didalam apa juga posisi imam itu dan memulakan solat, atau beliau perlu tunggu untuk melihat samada imam itu akan duduk atau berdiri?

Jawapan yang betul ialah apa yang dinyatakan oleh dalil (Al Qur'an atau hadith): beliau perlu menyertai imam dalam apa juga bahagian solat yang imam itu telah sampai - sujud, berdiri, ruku' mahupun duduk. Dalilnya ialah sebuah hadith daripada Abu Hurayrah (r.a.): "Rasulullah (s.a.w) bersabda: 'Jika kamu sampai sedang kami solat dan sedang sujud, hendaklah kamu sujud, tetapi jangan dikira rakaat itu, dan barangsiapa sempat bersama imam sekurang-kurangnya satu rakaat maka ia dikira telah solat berjemaah." (Sunan Abi Dawood, 893; Saheeh Sunan Abu Dawood, 792). Satu hadith lagi daripada Mu'aadh (r.a.) berkata: " Rasulullah (s.a.w) bersabda: 'Barangsiapa diantara kamu yang sampai sedang solat jemaah sedang dilangsungkan dan imam sedang dalam kedudukan tertentu, maka lakukanlah sepertimana imam itu lakukan.'" (Sunan al-Tirmidhi, 591; sila rujuk Saheeh Sunan al-Tirmidhi, 484). Begitu juga, terdapat maksud hadith: "Apa juga yang kamu sempat, ikutlah solat."

2.12 Tidak tergesa-gesa untuk menyertai solat yang sedang berlangsung

Jika solat sudah bermula dan seseorang sedang dalam perjalanan ke masjid, beliau tidak perlu tergesa-gesa bahkan beliau perlu berjalan dengan tenang dan sabar, seperti yang diterangkan dalam hadith daripada Abu Hurayrah (r.a.): "Rasulullah (s.a.w) bersabda: 'Jika solat sudah bermula, jangan kamu datanginya secara berlari; datangilah secara berjalan dengan tenang dan sabar. Apa juga yang kamu sempat, ikutlah solat, dan apa juga yang kamu tertinggal, sempurnakanlah [selepas itu].'" (Diriwayatkan oleh al-Bukhaari, Fath, 2/390).

2.13 Terkentut semasa sedang solat berjemaah

Jika seseorang terkentut semasa sedang solat berjemaah, apakah yang perlu beliau lakukan didalam situasi ini?

Beliau perlu meletakkan tangannya pada hidungnya, dan keluar. Dalil tentang ini telah dilaporkan oleh 'Aa'ishah (r.a.) yang berkata: "Rasulullah (s.a.w) bersabda: 'Barangsiapa diantara kamu yang terkentut semasa solat, dia perlu memicit hidungnya dan keluar.'" (Sunan Abi Dawood, 1114; sila rujuk Saheeh Sunan Abi Dawood, 985). Al-Teebi berkata: "Perintah supaya memicit hidung ialah untuk menunjukkan seolah-olah hidung seseorang itu berdarah. Ini bukannya satu penipuan; ia adalah satu perbuatan yang dibenarkan supaya syaitan tidak dapat meyakinkan seseorang didalam situasi ini supaya tidak keluar kerana merasa sangat malu kepada orang lain." (Mirqaat al-Mafaateeh Sharh Mishkaat al-Masaabeeh, 3/18).

Ini adalah satu contoh kepura-puraan yang dibenarkan dan disokong, bertujuan untuk mengelak rasa malu, sesiapa yang melihat beliau keluar dalam keadaan begini tentu akan menyangka bahawa beliau mengalami pendarahan di hidung. Satu lagi kebaikan mengenai nasihat Rasulullah (s.a.w) ini adalah ianya akan menghentikan bisikan tipu daya syaitan yang menyebabkan seseorang enggan menghentikan solat walaupun ia telah terkentut, dan perbuatan ini tidak disukai Allah. Bagaimana seseorang itu masih berada di tempat solat sedangkan Rasulullah (s.a.w) sudah perintahkan untuk keluar (dari solat) ?

Dalam kes ini beliau dibenarkan samada berjalan merentasi saf ataupun berjalan ke tepi dinding masjid dengan tujuan untuk keluar, supaya beliau boleh mengambil wuduk, kemudian kembali solat berjemaah .

2.14 Bila seseorang yang sudah solat dan tiba di masjid yang lain di mana jemaah sedang solat

Jika seseorang yang sudah solat di suatu masjid, kemudian beliau tiba di suatu masjid yang lain untuk menuntut ilmu ataupun untuk sebab yang lain, dan beliau mendapati jemaah di sana sedang solat, beliau perlu menyertai mereka dan solatnya itu akan dikira sebagai satu naafil (kelebihan daripada yang wajib). Beliau perlu berbuat demikian walaupun berada diwaktu yang dilarang solat kerana terdapat hikmah disebaliknya. Dalil tentang ini diperolehi dari hadith Yazeed ibn al-Aswad (r.a.): "Aku mengerjakan haji bersama Rasulullah (s.a.w) dan solat subuh bersama baginda di Masjid Al-Khayf. Bila selesai solat, baginda berpaling dan mendapati dua orang berada di belakang baginda yang tidak solat bersama-sama baginda. Baginda bersabda: 'Aku perlu berbicara dengan mereka.' Baginda pun menemui mereka yang dalam ketakutan lalu bertanya:: 'Apa yang menghalang kamu berdua daripada bersolat bersama kami?' Mereka menjawab: 'Ya Rasulullah! Kami sudahpun solat di rumah kami.' Baginda bersabda: 'Jangan berbuat begitu. Jika kamu sudah solat di rumah kamu dan kemudian tiba di masjid yang sedang mengerjakan solat berjemaah, sembahyanglah bersama mereka dan ia akan menjadi kelebihan bagi kamu.'" (Sunan Al-Tirmidhi, no. 219; Saheeh al-Jaami', 667)

Di dalam hadith lain ada menyatakan bahawa kedua orang tersebut datang selepas solat subuh bila masa solat adalah dilarang. Imam Malik meriwayatkan di dalam al-Muwatta' di dalam bab "Apa yang diriwayatkan tentang mengulangi solat bersama imam selepas seseorang sudah solat sendirian":

"Mihjan r.a. berkata beliau bersama Rasulullah (s.a.w) semasa azan dilaungkan. Rasulullah (s.a.w) bangun dan solat jemaah, kemudian kembali, sementara Mihjan tidak berganjak dari tempatnya dan tidak solat bersama-sama mereka. Rasulullah (s.a.w) pun bertanya kepada beliau: 'Apa yang menghalang kamu daripada sembahyang bersama-sama orang lain? Bukankah kamu seorang muslim?' Beliau berkata: 'Saya seorang muslim, ya Rasulullah! Tetapi saya sudahpun solat di rumah.' Rasulullah (s.a.w) bersabda kepada beliau: 'Bila kamu datang (ke masjid) solatlah bersama-sama orang ramai walaupun kamu sudah bersolat.'" (al-Muwatta', 1/130; Silsilah al-Saheehah, no. 1337)

2.15 Masih solat sunat semasa iqamah dilaungkan

Jika seseorang memasuki masjid lalu bersolat sunat, kemudian iqamat diilaungkan, pendapat yang terkuat dalam kes ini ialah jika beliau didalam rakaat kedua, beliau perlu menghabiskannya secepat mungkin, dan jika beliau didalam rakaat pertama, beliau perlu berhenti solat dan masuk menyertai solat berjemaah bersama imam. (Fataawa Ibn 'Uthaymeen, 1/345).

Asas kepada perkara ini ialah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam kitab Saheehnya: "Rasulullah (s.a.w) bersabda: 'Jika iqamah dilaungkan untuk solat maka tiada solat selain yang wajib itu.' (Saheeh Muslim, 1/394)

Maka, sekiranya seseorang telah ruku' didalam rakaat kedua semasa iqamah dilaungkan, maka beliau perlu menghabiskan solatnya itu. Jika iqamah dilaungkan sebelum beliau ruku' didalam rakaat kedua, maka beliau perlu berhenti kerana apa juga sujud dan tashahhud yang tertinggal adalah tidak diperlukan lagi. Berhenti solat boleh tanpa salam bahkan memadai dengan niat sahaja , berlainan dengan apa yang biasa disalah ertikan.

2.16 Diberitahu arah kiblat yang sebenar semasa sedang solat

Jika seseorang sedang solat berjemaah, dan semasa solat itu mereka diberitahu bahawa kiblat adalah diarah yang lain daripada arah yang sedang mereka menghadap, maka mereka perlu berpusing ke arah yang betul. Sama juga keadaannya jika seseorang solat sendirian. Apa juga keadaan solat yang telah dilakukan (sebelum pertukaran arah itu) dianggap betul.

Dalil tentang perkara ini ialah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: "Semasa Rasulullah (s.a.w) sedang solat menghadap ke Baitul-Maqdis (Jerusalem), suatu ayat telah diturunkan kepada baginda (yang bermaksud): “Sesungguhnya Kami (sering) melihat mukamu menengadah kelangit (meminta wahyu). Maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Maka palingkanlah mukamu ke arah Masjidil-Haram (Ka'bah)...” [Al-Baqarah 2:144]. Seorang lelaki daripada Bani Salamah sedang melalui mereka (i.e. sekumpulan orang daripada Bani Salamah) sedang dalam keadaan ruku' dalam rakaat kedua sewaktu solat subuh. Beliau memberitahu mereka: 'Kiblat telah bertukar,' maka merekapun menukar arah semasa sedang ruku'." (Saheeh Muslim, No. 527)

Jika sebahagian orang diberitahu dan sebahagian lagi tidak, maka sesiapa yang telah jelas tentang perkara ini mesti berpusing ke arah yang beliau yakin adalah arah kiblat yang sebenar. Jika kesemua orang tadi sedang solat berjemaah menghadap arah yang sama, kemudian sebahagian dari mereka berpusing ke kanan dan sebahagian berpusing ke kiri, namun masih lagi sah untuk seorang daripada mereka menjadi imam kepada yang lain. Tetapi para ulamak mempunyai berbagai pendapat tentang sebahagian orang yang mengikut imam dalam kes perbalahan tentang arah kiblat. Jika ada seseorang diantara mereka yang sangat jahil, beliau perlu mengikut orang yang lebih arif dikalangan mereka tentang arah kiblat yang sebenar. (Al-Mughni ma'a al-Sharh al-Kabeer, 1/473). Jika seseorang tidak tahu arah kiblat, beliau mesti bertanya kepada seseorang jika boleh, ataupun beliau perlu melakukan ijtihad (membuat keputusan mengikut kemampuan beliau berdasarkan apa yang beliau tahu) jika mampu, jika tidak beliau perlu mengikut seseorang yang boleh dipercayai. Jika beliau tidak berjumpa dengan seseorang yang boleh dipercayai, maka beliau perlu bertawakal kepada Allah, lakukan yang terbaik dan terus solat, dan solat itu dikira sah. Perkara ini banyak berlaku kepada orang yang musafir ke tempat orang bukan Islam dan tidak berjumpa dengan seorang pun orang muslim mahu pun orang yang boleh memberitahunya tentang arah kiblat, dan tidak mempunyai apa-apa cara untuk mencari arahnya. Tetapi jika seseorang mampu mencari arah kiblat, tetapi tidak menghiraukannya dan solat tanpa melakukan apa-apa usaha, beliau perlu mengulangi solatnya itu kerana ia dikira cuai. (Al-Mughni ma'a al-Sharh al-Kabeer, 1/490).

2.17 Ketinggalan semasa solat berjemaah

Jika seseorang yang sedang bersolat jemaah dan pembesar suara tidak berfungsi atau beliau mengantuk dan tertinggal dibelakang imam dengan satu atau lebih rukun (perbuatan) solat (i.e. imam melakukan sesuatu sedangkan beliau tidak melakukannya kerana tidak mendengar suara imam), kemudian bila beliau terjaga ataupun pembesar suara telah kembali berfungsi, beliau perlu melakukan rukun perbuatan yang beliau tertinggal tadi, dan terus mengikut imam.
Masalah ini mungkin timbul dalam banyak perkara. Sebagai contoh: seorang imam membaca surah yang mengandungi perkataan sajadah dan sebahagian daripada jemaah menyangkanya ialah ayat sajadah tetapi sebenarnya tidak, maka bila imam membaca takbir untuk ruku' pada akhir ayat itu dan melakukan ruku', sebahagian daripada jemaah (terutamanya yang jauh di saf belakang) menyangkanya ialah takbir untuk sujud kerana membaca ayat sajadah, maka merekapun sujud. Bila imam iktidal (berdiri daripada ruku') dan membaca "sami'a Allahu li man hamidah", mereka bangkit daripada sujud dan terus berdiri. Dalam kes ini, menjadi kewajipan bagi mereka untuk melakukan apa yang mereka tertinggal dan mengejar perbuatan imam. Ini adalah kerana mereka melakukannya secara tidak sengaja. Walaubagaimanapun, dalam kes seseorang yang dengan sengaja ketinggalan dibelakang imam (contohnya, seseorang yang memanjangkan sujudnya untuk merendahkan diri kepada Allah atau berdoa sehingga beliau ketinggalan rukun perbuatan yang menyusul selepas sujud), jumhur ulama' berkata bahawa solat seseorang yang ketinggalan dua rukun perbuatan berturut-turut tanpa sebab-sebab yang munasabah dikira tidak sah dan beliau dikira berdosa. (Kashshaaf al-Qinaa', 1/467; al-Mawsoo'ah al-Fiqhiyyah, 6/29).
Walaubagaimana keadaan sekalipun, kita mesti mengikut imam, sebagaimana Rasulullah (s.a.w) bersabda: "Sesungguhnya dijadikan imama adalah untuk diikuti , oleh itu janganlah kamu menyalahinya. Bila ia ruku', hendaklah kamu ruku'. Bila ia berkata "Sami'a Allahu li man hamidah" (Allah maha Mendengar sesiapa yang memujiNya), katakanlah "Rabbanaa laka'l-hamd" (Ya tuhan kami! KepadaMu segala puji). Bila ia sujud, maka hendaklah kamu sujud. Jika ia solat secara duduk, maka semua mesti solat secara duduk." (Saheeh al-Bukhaari, no. 689)

2.18 Bila imam terbatal wuduknya

Jika imam terbatal wuduknya semasa beliau sedang solat, atau teringat semasa solat yang beliau belum mengambil wuduk, maka beliau perlu berhenti daripada solatnya dan melantik seseorang untuk mengimamkan dan menghabiskan solat tersebut, sebagaimana yang diriwayatkan daripada 'Umar, 'Ali, 'Alqamah dan 'Ataa'. Jika beliau tidak melantik sesiapa, dan para jemaah bersolat bersendirian, ini juga dibolehkan, dan ini adalah pendapat yang diambil oleh Imam Al-Shaafi'i. Jika seseorang daripada kalangan mereka ke hadapan untuk mengimamkan mereka, ini juga dibenarkan.

Dalil tentang perkara ini ialah apa yang diriwayatkan tentang 'Umar (r.a.) semasa beliau ditikam: beliau menarik tangan 'Abd al-Rahmaan bin 'Awf dan membawanya ke hadapan, dan 'Abd al-Rahmaan bin 'Awf mengimamkan solat tersebut sehingga selesai. (Riwayat oleh al-Bukhaari, Fath, 7/60). Sebab terjadinya konklusi ini ialah kerana 'Umar (r.a.) melakukannya di hadapan beberapa orang para sahabat dan juga yang lainnya dan tiada seorang pun yang membantah perbuatan ini, maka ianya dikira sebagai ijmak. (Ahkaam al-Imaamah, al-Muneef, ms. 234).

Jika imam teringat bahawa beliau tidak dalam keadaan suci, beliau boleh memberi isyarat kepada makmum supaya tetap di tempat masing-masing dan pergi menyucikan dirinya, kemudian kembali, dan berkata "Allaahu akbar" dan mengimamkan mereka dalam solat. Ini dikira sah. Dalil tentang perkara ini ialah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Dawood daripada Abu Bakrah: "Rasulullah (s.a.w) mula mengimamkan solat subuh, kemudian baginda mengisyaratkan kepada para makmum supaya tetap di tempat masing-masing. Kemudian baginda kembali bersolat dengan mereka dan kelihatan air menitis daripada kepala baginda." (Sunan Abi Dawood, no. 233; Saheeh Sunan Abi Dawood, 1/45).

Abu Dawood memasukkan satu bab yang bertajuk Fi'l-Junub yusalli bi'l-qawmi wa huwa naasin (Seseorang yang tidak sengaja mengimamkan solat semasa dalam keadaan junub).
Berkenaan dengan hadith ini, Imaam Al-Khattaabi berkata: "Dalam hadith ini terdapat bukti bahawa jika seseorang mengimamkan solat semasa dalam keadaan junub dan makmum tidak mengetahuinya, maka solat mereka tidak apa-apa, dan tiada sebab untuk mereka mengulanginya. Tetapi imam perlu mengulangi solatnya." (Sunan Abi Dawood wa ma'ahu Ma'aalim al-Sunan oleh al-Khattaabi, diedit oleh al-Da'aas, 1/159.)

2.19 Bila aurat imam terdedah

Jika seseorang sedang solat berjemaah di belakang imam dan terlihat aurat (bahagian anggota badan yang mesti ditutup) imam terdedah akibat koyak dari pakaian beliau atau pun pakaian beliau nipis dan jarang, maka jika mampu orang tadi menuju ke hadapan dan menutupinya dengan sesuatu, sebaliknya beliau boleh keluar daripada solatnya dan memberitahu imam tadi dengan berkata "tutuplah aurat kamu" (dalam bahasa Arab "ghatti'l-'awrah"), atau pun "lindunglah apa yang terbuka". Dalam kes ini, beliau tidak boleh berdiam diri dan meneruskan solat kerana dia tahu solat imam tersebut (dalam keadaan aurat terdedah) adalah tidak sah dan mengikuti imam tersebut adalah tidak sah juga. (Daripada fataawa Shaykh 'Abd al-'Azeez ibn Baaz secara lisan).

2.20 Menyedari bahawa wuduk seseorang tidak sah kerana menyapu stokin (semasa perbuatan tersebut dilakukan) tidak dikira sah

Jika seseorang sedang solat (sebagai imam atau makmum atau sendirian) dan teringat bahawa beliau telah menyapu stokin semasa mengambil wuduk tadi dimana tempoh yang dibolehkan berbuat demikian telah tamat, maka beliau perlu menghentikan solatnya kerana wuduknya tadi adalah tidak sah. Ini adalah apa yang dipetik daripada Imam Ahmad dan al-Shaafi'i. (al-Mughni, 2/505)

2.21 Bila imam terlupa penghujung ayat

Jika imam membaca sebahagian daripada ayat Al-Qur'an didalam solat dan terlupa diakhir ayat tersebut manakala tiada seorangpun daripada ahli jemaah yang mengingatkan beliau, maka ia boleh memilih samada bertakbir dan menghentikan bacaannya ataupun membaca satu atau lebih ayat dalam surah yang lain. Tetapi ini hanya dibenarkan jika bahagian yang beliau terlupa tadi bukan daripada surah al-Faatihah. Jika ia adalah surah al-Faatihah, maka mestilah dibaca sepenuhnya, kerana membacanya adalah satu daripada rukun solat. (Ibn Baaz: Fataawa Islaamiyyah, 396).

2.22 Berhajat untuk solat meminta hujan (solat istisqa') , tiba-tiba hujan turun sebelum solat dimulakan

Jika orang ramai keluar dan berkumpul untuk solat al-istisqaa' (solat meminta hujan), ataupun telah bersiap sedia untuk keluar tiba-tiba hujan turun , maka salah satu daripada perkara berikut perlu dilaksanakan:

Jika mereka sudahpun bersiap sedia untuk keluar dan tiba-tiba hujan sebelum mereka pergi, maka mereka perlu bersyukur kepada Allah (s.w.t) kerana rahmatNya dan tidaklah perlu mereka keluar.

Jika mereka sudahpun keluar dan tiba-tiba hujan turun sebelum mereka solat, mereka perlu solat sunat sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT. (al-Mughni ma'a Al Syarh Al Kabir, 2/296)

2.23 Berasa mengantuk sewaktu mendengar khutbah Jumaat

Jika seseorang terasa mengantuk atau terlelap semasa mendengar khutbah Jumaat, adalah digalakkan supaya beliau bertukar tempat dengan seseorang yang duduk di sebelahnya. Semasa berbuat demikian beliau perlu berhati-hati supaya tidak berkata-kata. Oleh yang demikian, beliau perlu berinteraksi menggunakan bahasa isyarat. Dalil tentang perkara ini ialah sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Samurah(r.a.) yang berkata: "Rasulullah (s.a.w) bersabda: 'Jika ada diantara kamu yang mengantuk semasa khutbah Jumaat, maka dia perlu bertukar tempat dengan seseorang yang duduk disebelahnya'" (Al-Bayhaqi, 3/238; Saheeh al-Jaami' no. 812)
Hadith lain yang diriwayatkan oleh Ibn 'Umar (r.a.) yang berkata: Rasulullah (s.a.w) bersabda: 'Jika ada diantara kamu yang terlelap di masjid pada hari Jumaat, dia perlu berpindah duduk ke tempat yang lain.'" (Abu Dawood, no. 1119; Saheeh al-Jaami' no. 809)

No comments: