Thursday, April 24, 2008

KARPAL SINGH - TOLONG JGN MACAM ABU JAHAL

Untuk kesekian kalinya, entah kenapa Karpal Singh begitu kuat penentangannya terhadap "ideologi" PAS ingin menubuhkan negara Islam. Suatu ketika dulu beliau pernah berkata, langkah mayat saya dulu jika mahu tubuh negara Islam. Terbaru beliau meminta agar PAS menggugurkan cita-cita ingin menubuhkan negara Islam.
Melihat kepada kuatnya tentangan Karpal Singh ini saya teringat akan kisah Abu Jahal dan Abu Lahab yg begitu hebat menentang perjuangan Rasulullah s.a.w. Sampai mati kedua makhluk itu enggan menerima dakwah Rasul s.a.w. dan memilih untuk mati dalam kufur.
Saya tidak mahu menyamakan Karpal dengan dua pembesar Quraisy di zaman Nabi s.a.w itu tetapi saya percaya sebagai seorang peguam yang hebat dan mempunyai pengalaman berpuluh tahun dalam bidangnya, Karpal seolah tidak mahu berganjak dari kebebalannya memahami Islam dengan sejujurnya {Semoga suatu hari nanti Allah memberikannya hidayah}. Kelihatan yang Lim Guan Eng lebih terbuka mindanya dalam memahami konsep Islam.
Saya juga tidak fikir yang Karpal tidak memahami undang-undang Islam dan kaedah pelaksanaannya. tetapi mungkin untuk kepentingan politik beliau sengaja tidak mahu memahami. Apakah seorang peguam seperti Karpal mahu menyokong penjenayah dan membiarkan orang ramai menjadi mangsa jenayah? Betul, tugas seorang peguam adalah membela pesalah selagi belum dibuktikan kesalahannya oleh mahkamah tetapi dalam kes undang-undang Islam, ianya bersifat mencegah dan bukannya menghukum. Memotong tangan pencuri bukanlah semudah memotong ayam di pasar ! Ada kaedah dan syarat-syaratnya. Jadi, kenapa Karpal perlu takut dengan undang-undang pencegahan yang terdapat dalam Islam?
Dari segi politik pula, berdasarkan senario masyakarat majmuk di negara ini dan peri pentingnya undi dari kaum bukan Islam, saya fikir tidaklah mudah untuk PAS mencapai cita-citanya secara solo. Selagi masyakarat bukan Islam sendiri tidak memberikan undi kepada PAS dan PAS pula menjadi tunjang kepada kerajaan sepertimana UMNO pada hari ini, maka "kebimbangan" Karpal itu sebenarnya hanyalah ketakutan kepada bayang-bayangnya sendiri sahaja. Saya ingin menasihatkan Karpal agar belajarlah memahami undang-undang dan kesejahteraan hukum Islam terhadap umat manusia sebelum membuat bising tak tentu pasal. Janganlah menentang tak tentu hala. Apa yang ditunjukkan selama 18 tahun PAS memerintah Kelantan adalah bukti kesederhanaan pelaksanaan Islam yang ingin diterapkan oleh PAS. Ada ke sesiapa yang bukan Islam yang didiskriminasikan oleh Dato Nik Aziz selama memerintah Kelantan? Jadi, saya meminta agar Karpal lebih bersusila dalam bercakap mengenai Islam kerana pengetahuannya yang cetek tidak membantunya untuk bercakap dengan rasional. Janganlah menentang apa yang kita tidak tahu dengan mendalam dan janganlah menutup akal kita dari berfikir dengan minda yang terbuka. Yang pasti, jangan sampai soladiritas Pakatan Rakyat terlerai akibat kita tidak pandai bercakap dan tidak meletakkan ketinggian budi sebagai keutamaan sesama rakan.

No comments: