Sunday, April 27, 2008

CARA YG BETUL BERSYUKUR & ADAB ORANG MUKMIN

5.1 Cara yang betul bersyukur kepada Allah

Jika seseorang muslim mendapat nikmat atau terselamat dari dugaan Allah, adalah disyorkan supaya beliau melakukan sujud syukur (Al Mugni ma'a al Syarh Al Kabir 1/654). Abu Bakrah (r.a.) meriwayatkan bahawa: "Bila Rasulullah (s.a.w) mendapat sesuatu yang beliau sukai atau mendapat khabar gembira, baginda akan melakukan sujud sebagai tanda syukur kepada Allah." (Abu Dawood, no. 2774;. Ia adalah sahih dan juga telah diriwayatkan dalam Mishkaat al-Masaabeeh, no. 1494)

Tidak di syaratkan bersuci (tahaarah) dan menghadap kiblat semasa melakukan sujud syukur, walaubagaimanapun jika seseorang mengambil wuduk dan menghadap kiblat, itu adalah lebih baik. (Majmoo' Fataawa oleh Ibn 'Uthaymeen, 4/216.)

5.2 Menerima wang atau harta tanpa meminta-minta

Jika sesuatu (seperti wang, harta, dsb.) yang halal diberi kepada anda, samada melalui seseorang atau lainnya, tanpa memintanya, berkehendak atau merayu untuk mendapatkannya, dan tanpa perlu menjatuhkan maruah , maka anda bolehlah menerimanya. 'Umar (r.a.) meriwayatkan bahawa: "Rasulullah (s.a.w) bersabda" 'Jika sesuatu (seperti wang, harta, dsb.) diberi kepada kamu yang mana kamu tidak berkehendak ataupun memintanya, maka terimalah. Jika tidak, jangan pedulikan ia.'" (Saheeh al-Bukhaari, no. 1404)

5.3 Menanyakan tuan rumah (muslim) berkenaan makanan ataupun minuman yang dihidangkan

Jika seseorang muslim dihidangkan makanan di rumah saudara muslimnya, dan beliau khuatir samada makanan tersebut halal atau haram, maka beliau dibenarkan memakannya tanpa mempersoalkannya, kerana menurut Islam, kita perlu berpegang pada prinsip bahawa setiap muslim adalah boleh dipercayai. Dalil tentang perkara ini adalah daripada sabda Rasulullah (s.a.w): "Jika salah seorang daripada kamu memasuki rumah saudara muslimnya dan dihidangkan makanan, maka makanlah dan jangan bertanya tentang hidangan itu, dan jika dihidangkan minuman, minumlah dan jangan bertanya tentang minuman itu." (Ahmad, 2/399; al-Silsilah al-Saheehah, no. 627)

Ini adalah kerana persoalan seperti itu boleh menyinggung perasaan tuan rumah dan membuatkan beliau merasa dicurigai.

5.4 Berjalan dengan hanya sebelah alas kaki jika sebelah lagi rosak

Jika seseorang berjalan dengan alas kaki seperti selipar tiba-tiba salah satunya rosak ataupun koyak, beliau tidak patut berjalan dengan sebelah alas kaki sahaja, manakala sebelah lagi tidak beralas. Beliau perlu membaiki alas kaki tersebut dan memakai kedua-duanya sekali, ataupun menanggalkan kedua-duanya dan berjalan tanpa alas. Berjalan tanpa alas pada ketika tertentu adalah sunnah. Dalil dalam kes ini ialah hadith daripada Abu Hurairah (r.a.) bahawasanya Rasulullah(s.a.w) bersabda: Janganlah salah seorang daripada kamu berjalan dengan sebelah alas kaki sahaja tetapi hendaklah memakai kedua-duanya atau menanggalkan kedua-duanya sekali (Saheeh Al Bukhari, no. 5518)

Para ulamak pernah menyebut beberapa perkara berkenaan sebab berbuat begitu. Pendapat yang paling kukuh ialah sepertimana yang diterangkan oleh Ibn al-'Arabi dan yang lain-lainnya iaitu "Itu adalah cara syaitan berjalan". (Fath al-Baari, 10/310). Dalil tentang perkara ini adalah suatu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurayrah (r.a.): "Rasulullah (s.a.w) bersabda: 'Sesungguhnya syaitan itu berjalan dengan sebelah alas kaki.'" (al-Silsilah al-Saheehah, no. 348)

5.5 Mimpi baik

Jika seseorang muslim mendapat mimpi yang baik, beliau hendaklah melakukan perkara berikut:

Beliau perlu memuji dan bersyukur kepada Allah (s.w.t).

Beliau boleh mentafsir sendiri mimpi tersebut ataupun berbincang dengan orang alim yang boleh mentafsirkan mimpi tersebut untuk beliau.

Beliau tidak digalakkan memberitahu kepada sesiapa juga melainkan kepada orang yang dipercayai boleh memberikan beliau pandangan yang baik, ataupun orang yang bijaksana, ataupun orang yang beliau sayangi. Beliau tidak seharusnya memberitahu kepada orang yang berkemungkinan akan merasa cemburu terhadap beliau.

Dalil tentang ini adalah sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Sa'eed al-Khudr (r.a.): "Rasulullah (s.a.w) bersabda: 'Jika ada diantara kamu yang mendapat mimpi yang disukainya, maka ianya adalah daripada Allah, dan beliau perlu bersyukur kepada Allah dan memberitahunya kepada orang lain.'" (Saheeh al-Bukhaari, no. 6584)

Dan juga diriwayatkan oleh Abu Hurayrah (r.a) bahawa: "Rasulullah (s.a.w) bersabda: 'Janganlah kamu menceritakan mimpi baik yang kamu perolehi melainkan kepada orang yang alim ataupun orang yang dipercayai dapat memberi kamu pandangan yang baik.'" (Jaami' al-Tirmidhi, no. 2280; al-Silsilah al-Saheehah, no. 1119)

Ini adalah kerana orang-orang tersebut dapat mentafsirkan mimpi itu dengan sebaik-baiknya, berlainan dengan orang-orang yang cemburu ataupun yang jahil.

5.6 Mimpi buruk

Jika seseorang muslim mendapat mimpi yang buruk, beliau hendaklah melakukan perkara berikut:

Beliau perlu meludah (tanpa air liur) ke kiri sebanyak tiga kali

Beliau perlu memohon perlindungan kepada Allah daripada syaitan sebanyak tiga kali (dengan berkata a'audhoobillahi minassyaithonir rajeem - pent.)

Beliau perlu memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan dalam mimpi tersebut.

Beliau perlu bangun dan melakukan solat.

Beliau perlu mengubah posisi tidurnya jika beliau mahu meneruskan tidurnya, walaupun ini bermakna ia tepaksa berpaling ke sebelah kirinya.

Beliau dilarang memberitahu orang lain tentang mimpinya

Beliau dilarang mentafsir sendiri mimpi tersebut ataupun meminta orang lain mentafsirkan untuknya.

Dalil tentang perkara ini ialah sebagaimana yang riwayatkan oleh Jaabir (r.a.) bahawa:
"Rasulullah (s.a.w) bersabda: 'Jika ada di antara kamu mendapat mimpi yang tidak elok, maka ia perlu meludah ke kirinya sebanyak tiga kali, memohon perlindungan kepada Allah daripada syaitan tiga kali , dan berpaling ke sebelah yang lain.'" (Saheeh Muslim, no. 2262)

Menurut riwayat yang lain, ada menyebut: "Beliau perlu memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan (mimpinya) dan meyakini bahawa mimpi tersebut tidak boleh memudharatkannya.."

Perawi hadith ini berkata: "Saya selalu bermimpi sesuatu yang lebih berat bagiku dari gunung, tapi bila saya mendengar hadith ini, saya tidak lagi risau tentangnya." (Saheeh Muslim, no. 2261)
Jaabir (r.a.) menceritakan bahawa seorang Arab Badwi datang kepada Rasulullah (s.a.w) dan berkata: 'Ya Rasulullah, aku bermimpi seolah-olah kepalaku dipenggal kemudian jatuh bergolek lalu aku mengejarnya." Rasulullah (s.a.w) bersabda: "Janganlah kamu ceritakan kepada orang lain tentang mimpi kamu yang dipermainkan oleh syaitan ." (Saheeh Muslim, no. 2268)

Menurut riwayat yang lain, ada menyebut:

"Jika seseorang bermimpi sesuatu yang beliau tidak sukai, beliau perlu bangun dan melakukan solat." (Jaami' al-Tirmidhi, no. 2280; Saheeh al-Jaami', no. 3533)

5.7 Terpesona bila melihat perempuan

Jika seorang muslim terlihat perempuan yang bukan mahram, dan beliau terpesona kepadanya, maka jika beliau mempunyai isteri beliau harus balik ke rumah dan berjimak dengannya supaya beliau dapat menghilangkan apa juga perasaan terhadap perempuan itu. Dalil tentang perkara ini ialah riwayat oleh Jaabir (r.a.): "Rasulullah (s.a.w) bersabda: 'Jika ada di antara kamu merasa tertarik dan menyukai seseorang perempuan, beliau perlu mendatangi isterinya dan berjimak dengannya, kerana ini dapat menghilangkan apa juga perasaan terhadap perempuan itu.'" (Saheeh Muslim, no. 1403)

5.8 Duduk diantara sinaran matahari dan tempat teduh tidak dibenarkan

Barangsiapa yang duduk diantara sinar matahari dan tempat teduh, maka hendaklah dia beralih tempat duduk kerana Rasulullah (s.a.w) bersabda: "Jika seseorang dari kamu duduk di tempat teduh yang semakin surut, mengakibatkan sebahagian dari badannya terkena cahaya matahari dan sebahagian lagi di tempat teduh, maka hendaklah dia bangun dan beralih. (Abu Dawood, no. 4821; Saheeh al-Jaami', no. 748) Ini kerana kedudukan begini disukai oleh syaitan. Dalilnya ialah larangan Baginda mengenai duduk di tempat yang sebahagiannya disinari matahari manakala sebahagian lagi teduh. Rasulullah (s.a.w) bersabda: "Ini adalah tempat duduk Syaitan". (Ahmad, 3/413; Saheeh al-Jaami', No. 6823)

5.9 Bila isteri seseorang jatuh sakit

Sekiranya isteri seseorang jatuh sakit, adalah disyorkan agar si suami melakukan sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah (s.a.w): "Apabila salah seorang dari isteri-isterinya jatuh sakit, Baginda mengarahkan (yang lain) menyediakan sup. Kemudian Baginda menyuruh isterinya yang sakit itu meminumnya. Baginda selalu berkata: "Ini akan menguatkan hati sesiapa yang berdukacita, dan membersihkan hati orang yang sakit seperti seseorang yang mencuci wajahnya dengan air.'" (Jaami' al-Tirmidhi, no. 2039; Saheeh al-Jaami', no. 4646)

5.10 Jika salah seorang dari anak atau ahli keluarga seseorang berbohong.

Jika salah seorang dari anak atau ahli keluarga seseorang itu berbohong, hendaklah beliau menyelesaikan isu ini sepertimana Rasulullah (s.a.w) lakukan: "Jika Baginda (s.a.w) mendapat tahu bahawa salah seorang dari ahli keluarganya berbohong, Baginda akan menjauhkan diri darinya sehingga dia insaf." (al-Silsilah al-Saheehah, no. 2052; Saheeh al-Jaami', no. 4675)

5.11 Bila bercakap benar bukan pilihan yang terbaik

Jika seseorang muslim berdepan dengan situasi dimana beliau perlu bercakap yang tidak benar untuk melindungi dirinya atau seseorang yang tidak bersalah, atau untuk menyelamatkan dirinya daripada masalah besar, adakah cara untuk beliau mengatasi situasi tersebut tanpa berbohong dan berdosa?

Ya, terdapat cara yang mengikut hukum syarak dan jalan yang dibenarkan untuk seseorang menggunakannya jika perlu. Ianya ialah berdalih ataupun tidak berterus terang. Imam al-Bukhaari menamakan satu bab dalam Saheehnya: "Berdalih adalah cara yang selamat untuk mengelakkan bohong". (Saheeh al-Bukhaari, Kitaab al-Adab (Kitab Adab), bab 116).
Berdalih bermakna mengatakan sesuatu yang mempunyai maksud tersurat yang mana pendengarnya akan faham, tetapi ia juga mengandungi maksud tersirat tentang perkara sebenar dengan bahasa yang betul. Syarat tentang perkara ini adalah apa juga yang dikatakan mestilah tidak membenarkan perkara yang sememangnya salah atau sebaliknya. Berikut adalah contoh dalih yang pernah digunakan oleh para salaf dan imam-imam terkenal yang dikumpulkan oleh Imam Ibn al-Qayyim di dalam bukunya "Ighaathat al-Lahfaan: Adalah diriwayatkan tentang Hammad (rahimahullah) jika seseorang datang dan beliau tidak suka duduk dengan orang itu, maka beliau akan berkata (seolah-olah dalam kesakitan): "Gigiku, gigiku!" Maka orang yang beliau tidak sukai tersebut (yang tidak memberi kebaikan bersahabat dengannya) akan meninggalkannya.

Imaam Sufyaan Al-Thawri (rahimahullah) dibawa berjumpa dengan Khalifah al-Mahdi yang menyukai beliau, tetapi bila beliau mahu pergi, khalifah telah menyuruhnya untuk duduk lebih lama disitu. Maka Al-Thawri berjanji beliau akan kembali semula. Beliau kemudiannya keluar, meninggalkan kasutnya di pintu. Selepas beberapa ketika, beliau kembali semula dan mengambil kasutnya, kemudian terus pergi. Bila Khalifah bertanya mana Al-Thawri, Baginda diberitahu bahawa beliau tadi berjanji untuk kembali lagi, maka beliau telahpun kembali dan mengambil kasutnya.

Suatu ketika Imam Ahmad berada di rumahnya bersama-sama dengan beberapa orang muridnya, termasuk al-Mirwadhi. Seseorang datang bertanyakan tentang al-Mirwadhi daripada luar rumah, tetapi Imam Ahmad tidak mahu al-Mirwadhi keluar, maka beliaupun berkata: "Al-Mirwadhi tiada di sini, apa yang beliau hendak buat di sini?" sambil meletakkan jarinya ke tapak tangannya yang sebelah lagi, kerana orang yang berada di luar tersebut tidak dapat melihat apa yang beliau sedang lakukan.

Contoh lain tentang berdalih atau tidak berterus terang termasuk yang berikut:

Jika seseorang bertanya kepada anda adakah anda terjumpa si Polan bin si Polan, dan anda takuti jika anda memberitahu tentang si Polan tersebut akan menimbulkan mudarat, maka anda boleh berkata "ma ra'aytuhu", dengan maksud bahawa anda tidak memotong paru-paru beliau, kerana maksud ini juga makna yang betul dalam bahasa Arab ["ma ra'aytuhu" selalunya bermakna "saya tidak melihat beliau," tetapi boleh juga bermakna "saya tidak memotong paru-paru beliau"]; atau anda boleh menafikan terjumpa dengan beliau, tetapi dengan maksud di dalam hati anda merujuk kepada masa dan tempat tertentu yang anda tidak terjumpa dengan beliau. Jika seseorang menyuruh anda bersumpah supaya tidak bercakap dengan si Polan bin si Polan, anda boleh berkata, "Wallaahi lan ukallumahu", dengan bermaksud anda tidak akan melukakan beliau, kerana "kalam" juga boleh memberi makna "luka" dalam bahasa Arab [begitu juga "cakap"]. Begitu juga, jika seseorang dipaksa malafazkan kalimah kufur dan disuruh menafikan Allah, adalah dibenarkan untuk beliau berkata "Kafartu bi'l-laahi", yang bermaksud "Saya menafikan berpoya-poya" [yang mempunyai bunyi yang sama dengan ungkapan yang bermaksud "Saya menafikan Allah"] (Ighaathat al-Lahfaan oleh Ibn al-Qayyim, 1/381 ff., 2/106-107. Sila rujuk bab tentang berdalih (ma'aareed) dalam Al-Adaab al-Shar'iyyah oleh Ibn Muflih, 1/14).

Walaubagaimanapun, seseorang haruslah berwaspada bahawa penggunaan dalih tersebut adalah untuk situasi yang tidak dapat dielakkan sahaja, jika tidak:

Penggunaannya yang berlebihan mungkin boleh membawa kepada pembohongan.
Seseorang mungkin boleh kehilangan kawan yang baik, kerana mereka akan selalu merasa ragu tentang apa yang dimaksudkan sebenarnya.

Jika orang yang terkena dalih tersebut menyedari bahawa realitinya adalah berlainan daripada apa yang diberitahu, dan beliau tidak menyedari orang itu dengan sengaja menimbulkan keraguan ataupun berdalih, maka dia akan menganggap bahawa orang itu adalah pembohong. Ini menyalahi prinsip melindungi maruah seseorang dengan tidak menimbulkan keraguan pada kejujuran seseorang.

Orang yang kerap menggunakan kaedah ini mungkin akan timbul sifat bangga diri kerana kebolehan beliau mengambil kesempatan terhadap orang lain.

Akhir sekali, saya bermohon kepada Allah (s.w.t) agar kita dikurniakan kefahaman tentang agama kita, dan memberi ilmu yang bermanfaat kepada kita, dan memberi manfaat kepada kita dari apa yang diajarkanNya, memberi ilham dan petunjuk kepada kita dan melindungi kita daripada kejahatan dalam diri kita. Sesungguhnya Allah Yang Memberi Perlindungan dan Dialah Yang Maha Pengasih.

Salawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad (s.a.w), kaum keluarga dan para sahabat Baginda.

No comments: