Thursday, April 24, 2008

HUKUM FIQH - BAHAGIAN 3 - MENGENAI SUJUD SAHWI

3.1 Ragu-ragu tentang bilangan rakaat yang sudah dilaksanakan

Jika seseorang merasa ragu samada beliau telah solat contohnya, tiga atau empat rakaat, beliau perlu berbuat apa yang ia rasa lebih jelas dan pasti. Walaubagaimanapun, jika beliau tidak yakin yang mana yang lebih jelas, beliau hendaklah membuat keputusan berdasarkan kepada bilangan yang ia benar-benar yakin, iaitu bilangan yang tersedikit, dan kemudiannya melakukan sujud sahwi.

Dalilnya ialah sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Sa'eed Al-Khudri (r.a.) yang berkata: "Rasulullah (s.a.w) bersabda: 'Jika ada diantara kamu yang merasa ragu semasa solat dan tidak ingat berapa rakaat yang sudah dilakukan, samada tiga atau empat rakaat, maka beliau perlu menghilangkan keraguannya dan menyempurnakan solat berdasarkan apa yang beliau pasti dan kemudiannya melakukan dua sujud sebelum memberi salam. Jika sebenarnya beliau telah solat lima rakaat, maka kedua sujud tersebut akan membuatnya genap, dan jika sebenarnya beliau telah menyempurnakan empat rakaat, maka beliau telah terlepas daripada tipudaya syaitan.'" (Saheeh Muslim, no. 571)

3.2 Imam terlupa membaca al-Faatihah pada rakaat yang senyap

Jika seorang imam teringat semasa duduk tahiiyat akhir bahawa beliau telah terbaca at-tahiyyaat (bacaan semasa duduk) semasa berdiri di permulaan rakaat yang senyap yang sepatutnya dibaca al-Faatihah, maka beliau perlu berdiri dan melakukan satu rakaat untuk menggantikan rakaat yang beliau telah terlupa membaca al-Faatihah. Ini adalah kerana Rasulullah (s.a.w) bersabda: "Tiada solat bagi seseorang yang tidak membaca al-Faatihah (didalamnya)." (Saheeh al-Bukhaari, no. 723)

Adalah perlu juga bagi para makmum mengikuti beliau, walaupun ianya adalah rakaat kelima bagi mereka. Jika makmum tidak faham lalu mereka tetap duduk dan tidak berdiri mengikut imam , tetapi berkata "subhaan Allah" untuk menunjukkan kesalahan imam, maka imam tersebut perlu memberi isyarat menggunakan pergerakan tangan ke kanan dan ke kiri untuk memberitahu makmum bahawa beliau melakukannya dengan sengaja dan mengisyaratkan bahawa mereka (makmum) perlu bangun kerana imam tahu apa yang sedang dilakukannya bukan kerana terlupa atau tidak sengaja.

Walaubagaimanapun, jika perkara seperti ini (terlupa membaca al-Faatihah) berlaku kepada seseorang makmum, solatnya masih dikira sah selagi beliau mengikuti imam.

Dalil tentang ini adalah sebuah hadith daripada Abu Bakrah yang menerangkan semasa beliau menyertai solat dalam keadaan ruku' dan tidak membaca al-Faatihah. Rasulullah (s.a.w) bersabda kepada beliau: "Semoga Allah memberkati usaha kamu. Kamu tidak perlu mengulanginya." (Saheeh al-Bukhaari, no. 750).

3.3 Seorang makmum terlupa membaca al-Faatihah, atau menyertai solat semasa ruku'.

Jika seseorang makmum terlupa membaca al-Faatihah, ataupun tidak mengetahui tentang wajibnya , ataupun menyertai solat semasa imam sedang ruku', maka rakaatnya dikira lengkap dan solatnya adalah sah. Beliau tidak perlu mengulangi rakaat tersebut, kerana beliau diampunkan kerana kejahilannya ataupun kealpaannya, ataupun tidak sempat menyertai solat semasa qiyaam (berdiri). Ini adalah pendapat jumhur ulamak. (Ibn Baaz: Fataawa Islamiyyah, 1/263). Ini adalah salah satu perkara yang ditanggung oleh imam bagi pihak makmum.

3.4 Bangkit daripada ruku' dan menyedari beliau terlupa membaca tasbih

Jika seseorang telah bangkit daripada ruku' dan teringat bahawa beliau tidak membaca tasbih ruku', maka beliau tidak boleh kembali kepada ruku' kerana keperluan membaca tasbih pada ruku' termansukh dengan perbuatan bangkit tersebut. Jika beliau kembali kepada ruku' dengan sengaja, ianya akan membatalkan solat kerana beliau telah menambah satu rukun solat iaitu ruku' yang kedua. Walaubagaimanapun, jika ianya adalah kerana tidak tahu ataupun terlupa, solatnya tidak batal, tetapi didalam hal ini beliau mestilah melakukan sujud sahwi jika beliau solat berseorangan ataupun solat berjemaah. Ini kerana membaca tasbih ("subhaana Rabbi al-'Azeem, Maha Suci Allah Yang Agung") adalah wajib, dan jika seseorang terlupa, ianya boleh digantikan dengan melakukan sujud sahwi. Jika beliau solat mengikuti imam dan terlupa membaca tasbih, maka gugur kewajipan tersebut daripada dirinya. (al-Mughni ma'a al-Sharh al-Kabeer,1/679).

3.5 Terlupa tasyahud awal

Jika seseorang terlupa tashahhud awal, dan berdiri untuk rakaat ketiga dan terus membaca al-Faatihah, maka menurut jumhur ulamak, beliau tidak boleh kembali ke posisi duduk. Jika beliau berbuat demikian sedangkan beliau tahu bahawa perbuatan tersebut adalah salah, maka solat beliau dikira batal kerana beliau telah menambah satu lagi rukun. Perkara wajib yang beliau tertinggal (tashahhud awal) boleh digantikan dengan melakukan sujud sahwi. Dalilnya ialah hadith yang diriwayatkan oleh al-Mugheerah ibn Shu'bah (r.a.): "Rasulullah (s.a.w) bersabda: 'Jika imam mula berdiri selepas rakaat kedua (dengan terlupa duduk dan membaca tashahhud awal), kemudian teringat sebelum beliau berdiri tegak, maka beliau perlu duduk semula. Tetapi jika beliau sudahpun berdiri tegak., maka beliau tidak boleh duduk bahkan perlu melakukan dua sujud sahwi.'" (Abu Dawood, no. 1036; Silsilah al-Saheehah, 321)

Secara ringkasnya, jika seseorang berdiri untuk rakaat ketiga, tetapi terlupa tashahhud awal, salah satu daripada di bawah ini perlu diperbuat:

Jika beliau teringat sebelum berdiri tegak: maka beliau perlu kembali ke tashahhud.
Jika beliau teringat setelah berdiri tegak, tetapi sebelum mula membaca al-Faatihah: maka adalah lebih baik beliau tidak duduk kembali, tetapi jika beliau duduk semula , solat beliau masih lagi dianggap sah.

Jika beliau teringat selepas mula membaca al-Faatihah: maka beliau tidak boleh kembali kepada tashahhud. (al-Mughni ma'a al-Sharh al- Kabeer, 1/677)

Ketiga-tiga kes ini telah disimpulkan daripada hadith diatas.

3.6 Imam memberi salam kemudian melakukan sujud sahwi, tetapi makmum yang ketinggalan berdiri untuk menyempurnakan solat.

Jika imam memberi salam dan makmum yang lambat menyertai solat berdiri untuk menyempurnakan apa yang tertinggal, kemudian tiba-tiba imam melakukan sujud sahwi selepas salam, maka makmum tersebut perlu duduk semula dan melakukan sujud bersama imam, jikalau beliau masih belum berdiri tegak. Jika beliau sudah berdiri tegak, beliau tidak boleh duduk semula bahkan perlu menyempurnakan solatnya, kemudian melakukan sujud sahwi yang beliau tertinggal tadi. Dalil tentang ini adalah seperti yang dinyatakan dalam perbincangan mengenai lupa untuk duduk tashahhud diantara rakaat kedua dan ketiga. (al-Mughni ma'a al-Sharh al-Kabeer, 1/697).

3.7 Imam melakukan kesilapan tetapi tidak faham apa yang makmum maksudkan bila mereka berkata "Subhaan Allaah" untuk mengingatkannya.

Jika imam melakukan kesilapan dan meninggalkan satu daripada rukun solat, dan makmum mengingatkan beliau (dengan berkata "Subhaan Allah"), tetapi beliau tidak faham apa yang dimaksudkan ataupun tidak tahu bila atau dimana silapnya, lalu meneruskan rukun solat yang seterusnya (tidak termasuk apa yang beliau tertinggal) , maka terdapat beberapa pendapat tentang apa mereka perlu buat untuk membuatkan imam faham. Cara yang terbaik ialah mereka perlu mengingatkan beliau tentang bacaan zikir rukun (yang tertinggal itu) contohnya dengan berkata "subhaana Rabbi al-'Azeem" jika ia adalah ruku' atau "subhaana Rabbi al-A'la" jika ia adalah sujud, atau Rabbighfir li jika ia adalah duduk diantara dua sujud dsb. (al-Mughni ma'a al-Sharh al-Kabeer, 1/707)

No comments: